Apa itu Akademi Al-Fateh?
Category: Laporan Aktiviti Published on Sunday, 11 December 2011 16:43 Written by MultimediaPERMAI Hits: 477

Akademi al-Fateh 2 membuka tirai pengenalannya pada malam 10 Disember 2011. Melangkah masuk ke Dewan Abu Ain, dapat dilihat muka-muka baru dalam keluarga PERMAI yang masih segar dan berkobar-kobar. Majlis dimulakan dengan kata-kata aluan daripada pengerusi majlis serta alunan gema wahyu, disertai dengan ucapan dari Pengerusi PINTAR PERMAI, seterusnya ucapan ringkas daripada Presiden PERMAI. Pembentangan "Al-Fateh the Conquerer" daripada Ustaz Ahmad Firdaus bin Kadir berjaya membuat para hadirin mengimbau kembali sejarah Islam yang agung tersebut.
Apakah itu Akademi Al-Fateh?
"...Konstantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera..." (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Setelah 800 tahun umat Islam mencuba menakluk Konstantinopel, akhirnya gelaran sebaik-baik pemimpin jatuh kepada Sultan Muhammad Al-Fateh, dan juga tenteranya sebagai sebaik-baik tentera.
Persoalan yang dikemukakan adalah, adakah ianya merupakan kejayaan hasil daripada seorang individu? Tidak sama sekali. Kejayaan ini sememangnya boleh dianalogikan sebagai satu penulisan; yang dimana tidak akan lengkap tanpa setiap baris, setiap kata, mahupun noktah.
Itulah yang ingin diterapkan dalam Akademi Al-Fateh ini, di mana tujuannya untuk membina individu muslim yang dapat menyumbang kepada masyarakat. Masyarakat memberi impak besar dalam membina hidup seseorang individu namun, sejauh mana kita dapat menyumbang kepadanya? Adakah dalam setiap kelompongan dan kekurangan sesuatu masyarakat, kita hanya mampu duduk dan berkata-kata sahaja mengenainya? Sejauh mana kita benar-benar inginkan kejayaan sesuatu masyarakat atau umat?
"Disebabkan itulah, kita menamakannya 'Al-fateh' bukannya 'Sultan Muhammad Al-fateh', kerana penglibatan setiap individu, bukannya Sultan Muhammad Al-Fateh seorang diri", jelas Abdul Hakim Awang Nila, selaku pembentang pada malam itu.
Memetik kata-kata Presiden Permai 2011/12, Muhammad Hidayat Hasni Mad Isa dalam ucapannya malam itu, "Setiap orang dilahirkan pemimpin", "dan paling kurang, pemimpin untuk dirinya sendiri", maka marilah merebut peluang menyertai Akademi Al-Fateh 2!
Daftarkan diri dengan menghubungi:
1) Abdul Hakim bin Awang Nila (Tahun Dua, Perubatan JUST)
2) Najwa Aiman Zakaria (Tahun Tiga, Pergigian JUST)
** Kini terbuka kepada semua pelajar yang baru mendaftar pada sesi 2011, tidak kira tahun pertama, kedua (UniKL) mahupun ketiga (IKIP)