A+ A A-

SEAD : Susah sama dirasai, Senang sama dinikmati.

Antara persembahan menarik ketika SEAD


Tanggal 11 November 2011
Dewan Al-Khindi sekali lagi menjadi saksi perhimpunan raksasa ahli PERMAI. Sambutan EidulAdha PERMAI kali ini dilihat mendapat sokongan yang sangat padu daripada semua ahlinya. Pada awalnya, seperti tidak dijangka dewan tersebut bakal dipenuhi, namun inilah impak pertambahan ahli PERMAI. Semuanya mampu bersatu.


Majlis ini telah menyaksikan ucapan-ucapan daripada Pengarah Dewan, Pengarah Ladang, Presiden PERMAI dan Pengarah Education Malaysia Jordan (EMJ) yang turut sudi memeriahkan majlis kami. Ucapan Presiden yang teratur dan diselitkan dengan pelbagai ‘quotes’ telah mendapat perhatian seluruh ahli dewan. Pada hakikatnya, pengorbanan itu satu perkara yang subjektif. Amat salah jika kita hanya memahami maksud pengorbanan bersempena EidulAdha ini. Sesuatu perkara yang indah itu, tidak akan kita dapat tanpa pengorbanan.

 



Selain itu, seluruh ahli PERMAI telah dihidangkan dengan pelbagai persembahan yang ceria dan sangat menghiburkan daripada pelajar-pelajar tahun 1. Persembahan berbalas-balas pantun telah mengenengahkan topik muraqib dan ikhtilat antara syabab dan akhawat. Sememangnya topik ini amat hangat dibincangkan dalam masyarakat PERMAI kini. Kedua-dua pihak sama ada syabab mahupun akhawat sangat kreatif mereka pantun masing-masing. Gaya moderator yang sangat bersahaja telah mampu menggelikan hati seluruh ahli dewan.

 


Nyioque, USOM juga PUSKOM,
Warung lazat jana ekonomi,
Lafaz mulia assalamualaikum,
Dengaq semua pantun kami.

Pantun soalan syabab kepada akhawat dan jawapan akhawat kepada syabab

Akhawat di jalanan suka berjalan, (S)
Bila bertembung larikan diri.
Syabab ke kiri anda ke kanan,
Jumpa pak arab tak pula begini.

Syabab PERMAI memang gagah,(A)
Sanggup murakib setiap hari,
Bila terjumpa asyik disergah,
Manakan tidak,kami melarikan diri..

Kami murakib tanpa bayaran, (S)
Ganjaran Tuhan yang kami harap
Sampainya akhawat di tempat pilihan,
Terima kasih susah ke nak ucap?

Peraturan yang ada enggan dilanggar, (A)
Bimbang kelak sendiri menyesal,
Ucapan dah hulur muraqib tak dengar, 
Mana tidaknya sibuk berbual.

Akhawat suka membeli barang, (S)
Membeli barang di kedai Usamah,
Bila balik berjalan seorang,
Mintalah murakib, itu pun susah?

Susah itu tidaklah sangat, (A)
Hanya dilakukan sebahagian kami,
Syabab muraqib nampak penat,
Akhawat rasa tak sampai hati.

Saya ketua anda timbalan, (S)
Sebagai pasukan kita bekerja,
Bila berhubung jangan susahkan,
Mendengar suara haramkah hukumya?

Saya timbalan membantu ketua, (A)
Tugasan dipikul penuh semangat,
Bila anda call bukan-bukan yang ditanya,
Ni nak bekerja ke atau nak mengorat?

Di tengah jalan bertentang mata, (S)
Tunduk kepala jaga pandangan,
Dalam facebook lain cerita,
Rancak semacam semua dilayan.

PERMAI ibarat sebuah keluarga, (A)
Menjadi pengganti famili kami,
Rancak masih batas dijaga,
Medan bersuara kehendak hati...

Tunggu akhawat punyalah penat, (S)
Lepas murakib terus menyepi,
Duwar qubah jaraknya jauh teramat,
Hulurlah tambang nak naik teksi.

Wahai syabab maafkan kami, (A)
Keselamatan kami dilupa jangan,
Bukan sekadar tambang teksi,
Tambang lori pun boleh saya hulurkan.

Pantun soalan akhawat kepada syabab dan jawapan syabab kepada akhawat

Kami mudah terasa hati, (A)
Jumpa kami tak payah nak sergah,
Kalau ada silapnya kami,
Cakap elok tak payah nak marah

Syabab marah semuanya bermotif, (S)
Mahu melihat akhawat aman,
Syabab perkasa tetapi sensitif,
Dalam hati penuh bertaman.

Bab murakib,syabab cemerlang, (A)
Berkorban tenaga tiap2 kali,
Dalam kelas selalu hilang,
Wahai syabab ke mana kau pergi?

Anda di sana jaga kata-kata, (S)
Jangan cepat menghukum kami,
Dalam kelas selalu tiada,
Mungkin murakib di siang hari.

Kayu dipotong,disusun rapat, (A)
Dibuat pangkin di rumah sendiri,
Asyik marah menangkan pendapat,
Diri kami buat apa nak peduli?

Kalau akhawat tak suka dinasihat,(S)
Nak benci syabab kami tak peduli,
Tapi biarlah akhawat selamat,
Syabab di sini senangnya hati.

Muncul sudah abang lagenda, (A)
masak pandai kahwin pun sudah,
Bagi yang asyik dilamun cinta,
Kahwinlah cepat tak berani kah?

Cinta memang lumrah insani, (S)
Jiwa insan mengikut fitrah,
Hati ni mahu tapi bapak tak bagi,
Kalau ikutkan dah lama menikah.

Topik kahwin zikir harian, (A)
Semua syabab memasang mimpi,
Menjadi imam isteri kesayangan,
Tapi masjid susah nak pergi.

Menjadi imam keluarga di rumah, (S)
Syabab mana yang tak bermimpi
Tapi kami cuba berubah,
Kami ini bukannya nabi.

Dalam komunikasi berfikir terbuka, (A)
Jangan sampai tersalah sangka,
Syabab murakib memilih muka,
Amboi syabab awak tu korea sangat ke?

Yarmouk JUST lama atau baru, (S)
Bila murakib kami pergi,
Kami syabab tak pilih bulu,
Kami murakib tulus di hati.

Bandar Irbid membangun pesat.
Tidak setenang laut mati,
Ayuh semua syabab akhawat,
Suburkan PERMAI paksi komuniti.


Persembahan telah diteruskan dengan sebuah sketsa yang menceritakan mengenai pengorbanan seorang abang terhadap adik-adiknya. PERMAI bukan sahaja mempunyai ahli yang hebat dari segi akademik, malahan turut berbakat dalam bidang lakonan, nyanyian, dan sebagainya. Tidakkah kita rasakan betapa indahnya kepelbagaian yang terdapat dalam masyarakat PERMAI kini? Benarlah seperti apa yang dinasihatkan oleh Prof Azidan, Pengarah EMJ, walauapapun yang berlaku di dalam komuniti ini, kita wajib bersatu. Walau apa pun fiqrah kita, jika kita bersatu di bawah satu komuniti, kita akan mendapat kesan yang sangat indah.

Respons Anda:

Laman Facebook

© MultimediaPERMAI 11/12. All rights reserved.

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel