Perutusan Sempena Awal Muharram.
Category: Kalam Pimpinan Published on Saturday, 26 November 2011 06:00 Written by MultimediaPERMAI Hits: 543
Bismillahirrahmanirrahim.
Awal Muharram. Dengar macam biasa-biasa, tapi sebenarnya adalah ‘permulaan hidup baru’ untuk orang Islam. Catatan amalan yang terdahulu sudah diangkat, atau bahasa mudahnya buku sudah ditutup. Dan buku baru pula dibuka, memberi peluang seluas-luasnya untuk kita bermujahadah dan beramal sebanyak-banyaknya.
"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguh ,Allah beserta orang-orang yang berbuat baik".
(Al-Ankabuut:69.)
Jika dibumikan ke dunia yang nyata, kita seolah-olah diberi hadiah buku baru yang masih kosong. Untuk dicatat apa sahaja amalan yang kita buat pada tahun baru ini.Akhir tahun kelak, mungkin separuh dari buku kita tertulis cantik dengan amal soleh,dan separuh yang berbaki berconteng cacat dengan tindakan dan maksiat kita yang tidak Allah redhai.
Atau lebih hina lagi, sedikit atau beberapa helaian tidak penuh yang bertulis amal soleh, helaian tebal yang lain semuanya dosa-dosa kita. Kita tidak mahu begitu.
Kerana ketidakmahuan kita itulah, bermula dari tahun baru ini, berazam dan beriltizamlah dalam menghadapi setiap saat yang mendatang. Sebelum lakukan apa-apa, berfikir sejenak untuk menilai adakah itu akan mencacatkan buku kita atau bakal mencantikkannya. Sebelum bertutur, berhenti dahulu untuk timbang-timbangkan apa yang mahu diceritakan itu. Jaga mata, lisan, hati dan semuanya. Moga-moga dengan sedikit niat kita untuk menjadi lebih baik dari tahun sebelumnya ini, diredhai Allah.
Hari-hari dalam tahun baru ini, lebih-lebihkan kasih-sayang kita dengan sahabat-sahabat. Hari-hari dalam tahun baru ini, lebih-lebihkan menjaga diri anda dengan ‘bermurakib’. Hari-hari dalam tahun baru ini, ringan-ringankan tulang anda membantu kawan-kawan yang sibuk dalam apa jua kerja. Hari-hari dalam tahun baru ini, banyak-banyakkan menghulur sedeqah dan tabarru’ kepada sahabat-sahabat yang ditimpa musibah atau kurang berkemampuan dalam Skim Ta’awun atau apa-apa jua ruang.
Hari-hari dalam tahun baru ini, tingkatkan akademik anda,jadi muslim yang cemerlang! Dan, hari-hari dalam tahun baru ini, perbanyakkan persediaan kita untuk menghadapi kematian yang pasti.
Saya mewakili pihak pimpinan PERMAI sesi 2011/2012 mengucapkan selamat meniti hari-hari dalam tahun baru dengan lebih baik.
Semoga hari-hari kita yang mendatang lebih diberkati oleh Allah S.W.T.InshaAllah.
"Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam
Terpedayalah orang yang hari ini sama seperti semalam
Dan celakalah orang yang hari ini lebih buruk dari semalam"-Sayyidina Ali-
Siti Fatimah Binti Ismail
Ketua HELWI
Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid (PERMAI)
Sesi 2011/2012