Keselamatan, bukan barang mainan, bukan senda gurauan
Category: Kalam Pimpinan Published on Sunday, 13 November 2011 12:18 Written by MultimediaPERMAI Hits: 2814
Assalamualaikum w.b.t.
Segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan kepada kita keamanan dan perlindungan dari kejahatan. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. yang telah menyampaikan risalah keamanan.
Sahabat-sahabat sekomuniti sekalian,
Jika kita perhatikan dan ikuti perkembangan tentang isu masyarakat di Malaysia, realitinya kes-kes jenayah adalah lebih dahsyat dan lebih menggerunkan saban hari di negara kesayangan kita tersebut berbanding dengan kes-kes jenayah di Jordan.
Rogol, bunuh, rompakan, ragut dan pelbagai lagi kes-kes yang tak pernah terlintas di fikiran kita, dan tak tergamak untuk kita ceritakan.
Tapi, cuba kita fikir kembali, kalau benarlah kes di Malaysia lebih dahsyat, maka kenapa kita juga seringkali mendengar kes-kes keselamatan di Jordan ini yang dilakukan oleh masyarakat tempatan ke atas warganegara Malaysia?
Benar, penjenayah itu ada salah dan silapnya. Kita tak nafikan. Tapi izinkanlah saya dalam ruangan yang kecil ini untuk saya mengajak sahabat sekomuniti muhasabah bersama.
1) Kaum wanita Jordan
Kaum wanita di Jordan kalau kita perhatikan, jarang-jarang ada yang keluar malam. Kalau ada pun, selalunya bersama keluarga mereka, sama ada ayah atau ibu. Ini memang antara suasana di sini, kerana mereka cukup menjaga anak perempuan dalam keluarga mereka. Maka kalau siswi-siswi Malaysia keluar berjalan malam-malam, pastinya akan menimbulkan suatu keganjilan kepada persepsi dan suasana masyarakat tempatan apatah lagi kalau terlampau lewat malam.
2) Sentimen keluarga
Untuk pengetahuan juga, sentimen kekeluargaan di kalangan masyarakat tempatan sangat kuat. Walaupun terdapat juga gangguan ke atas wanita tempatan, tapi sebenarnya lelaki tempatan agak berhati-hati dan tidak terlampau berani untuk mengganggu wanita tempatan kerana mereka tahu perempuan tersebut mempunyai keluarga dan kalau ada yang mengganggu perempuan tersebut, nescaya dia mencari masalah dengan keluarganya. Bermaksud, keluarga menjadi tembok pelindung besar mereka di sini.
Berbeza dengan kita warga Malaysia, mereka tahu bahawa kita tiada keluarga di sini, maka kita tiada tembok pelindung besar, dan mereka lebih mudah untuk ambil kesempatan ke atas kita, kerana mereka tahu, kita lebih fragile.
3) Persepsi masyarakat tempatan
Kadang-kadang, kita mungkin berasa tidak ada masalah dengan tabiat kita seperti pulang lewat malam ke rumah, menunjukkan gadget yang mahal-mahal (tanpa kita sedari) tapi sebenarnya tabiat kita itu akan mempengaruhi persepsi masyarakat tempatan kepada seluruh warga Malaysia (termasuklah yang berniat jahat).
Saya berikan contoh, sekumpulan siswi pulang ke rumah pada lewat malam tanpa murakib dan mereka selamat sampai ke destinasi. Persepsi masyakat tempatan ialah, siswi-siswi Malaysia ini ada yang keluar malam dan tidak ada lelaki yang temankan.
Maka jika ada orang yang nak ambil kesempatan, dia akan menunggu pada waktu yang sama dan mensasarkan siswi Malaysia. Bayangkanlah kalau ada insan yang berniat jahat, dia meletakkan persepsi setelah melihat sekumpulan siswi keluar malam, tapi dia bertindak ke atas siswi lain yang kebetulan keluar malam pada waktu yang sama tapi tarikh yang berbeza. Tidakkah kita sudah menjadi penyebab bahaya kepada orang lain?
4) Perundangan
Jordan ini bukan negara kita, dan banyak lagi kita tak tahu berkenaan perundangan di negara ini. Kalau pun kita tahu, takkanlah kita nak habiskan masa terlibat dengan selok-belok perundangan menyelesaikan kes sedangkan banyak lagi perkara yang perlu kita tumpukan.
Berbeza dengan di Malaysia, tentu kita lebih selesa dengan perundangan di negara kita sendiri. Jadi, lebih elok kiranya ada perkara yang kita boleh cegah, kita cegah lebih awal. Bukanlah bermaksud saya ingin menyalahkan mahasiswa Malaysia yang terlibat dengan kes polis atau mahkamah, kerana pada saya, yang lepas itu lepas, kita akan cuba selesaikan bersama.
Jika setelah kita menjaga diri kita dan kita cuba cegah, perkara tak diingini tetap berlaku, maka itu adalah sesuatu yang kita tak boleh buat apa-apa. Tapi, janganlah biarkan jenayah itu berlaku kerana kecuaian diri kita.
Mencegah itu lebih baik dari merawat.
Usaha-usaha dari PERMAI, MPPMJ dan EMJ
Beberapa minggu lepas, kami dapat laporan tentang kes-kes gangguan yang berlaku ke atas siswi Universiti Yarmouk.
Maka, saya bersama seorang staff dari EMJ telah membuat laporan di bahagian keselamatan universiti, dan kami telah membuat aduan kepada ketuanya. Beliau sangat sedih atas kejadian ini, dan beliau berkata, kalau terjadi lagi gangguan, terus buat aduan di Pejabat Keselamatan Universiti (berhampiran gelanggang bola tampar/tennis). Nama beliau ialah Encik Mustafa As-Syiab. Bilik beliau di tingkat 2.

Juga, ada seorang lagi staff beliau, juga sebagai pegawai keselamatan, nama beliau ialah Encik Faleh. Nombor telefon beliau ialah 0799096470. Jika terjadi apa-apa, terus hubungi beliau.
Juga, di Kuliyyah Syariah, terdapat pejabat keselamatan khas untuk siswi. Kalau terjadi apa-apa, boleh terus buat aduan di situ.
Encik Mustafa dan Encik Faleh memang sangat serius sewaktu kami membuat aduan dan memberi respon yang sangat baik, dan beliau berkata, jika orang yang mengganggu tersebut tertangkap , pihak universiti tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas.
Sahabat-sahabat komuniti sekalian,
Salah satu dasar PERMAI pada sesi kali ini tentang keselamatan, ialah ingin berusaha mendapatkan khidmat guaman untuk mahasiswa Malaysia.
Beberapa minggu lepas, pihak kedutaan bersama EMJ telah membuat pertemuan bersama MPPMJ, wakil PZ dan BKAN. Maka dalam perjumpaan tersebut, kami mengutarakan cadangan kepada pihak kedutaan untuk menyediakan khidmat guaman kepada mahasiswa Malaysia Jordan memandangkan terdapat kes-kes keselamatan yang melibatkan mahkamah.
Alhamdulillah, TYT Dato’ Abdul Malek bin Abdul Aziz menyambut baik cadangan tersebut dan menyatakan bahawa beliau akan membawa cadangan tersebut dalam mesyuarat bersama pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam yang akan datang ke Jordan nanti.
Sama-sama kita doakan agar cadangan tersebut diterima dan dapat dilaksanakan.
Sahabat-sahabat komuniti sekalian,
Dalam kita berusaha, ingatlah bahawa pergantungan kepada Allah itu adalah yang terbaik. Segala perjalanan hidup kita ini adalah dengan kuasa Allah, maka kepada Allah jugalah kita memohon agar Dia melindungi kita di sini, dan melindungi kita selama-lamanya, insya-Allah. Yakinlah dengan Allah, maka kita pasti selamat.
Bandar Irbid membangun pesat.
Tidak setenang laut mati,
Ayuh semua syabab akhawat,
Suburkan PERMAI paksi komuniti.
Yang menjalankan amanah,
Ahmad Hidayat Hasni bin Mad Isa,
Presiden,
Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid (PERMAI),
Sesi 2011/2012.