“Di dalamnya terdapat (isi kandungan) kitab-kitab yang bermutu tinggi” [al-Bayyinah: 3]
Siri Novel Sejarah Islam ini menceritakan secara terperinci kisah-kisah disebalik manusia-manusia hebat pada zaman kebangkitan dan kegemilangan Islam. Kisah yang terdapat dalam siri ini bukan sekadar perjalanan manusia biasa malah pelbagai rintangan dan halangan yang perlu ditempuhi oleh para pejuang Islam dahulu. Siri novel ini berjaya membawa si pembaca untuk menelusuri mehnah dan ujian yang perlu ditempuhi oleh mereka yang hebat pada zaman mereka. Untuk menunjukkan betapa hebatnya pembawaan novel ini, disertakan dua komen pembaca terhadap salah satu novel yang terdapat dalam siri ini,Imam Syafie Pejuang Kebenaran:
Salam, tuan. Saya sedang membaca novel Imam Syafie, baru separuh jalan membacanya sudah menitis air mata. Kisah yang sangat menyentuh hati, tidak pernah pula air mata mengalir sewaktu membaca mana-mana buku atau novel sejarah sebelum ini. Usai membacanya nanti, saya akan buat ulasan. Tidak sabar rasanya hendak mengiklankan novel itu kepada kawan-kawan di facebook ini…
Salam Pak Latip, malam tadi saya baru je selesai membaca novel Imam Syafie. Hmm, sangat menyentuh hati. Tak dapat nak baca laju, setiap helai merembeskan air mata. Sedih tapi benar-benar membakar semangat untuk tetap istiqomah menuntut ilmu. Luar biasa ibu seperti ibu Imam Syafie. Tahniah Pak Latip atas usaha murni menulis kisah sejarah Islam begini. Terima kasih banyak. Barakallah alaik.
Tidak melampau untuk dikatakan bahawa novel-novel dibawah siri ini adalah novel yang tinggi nilainya, ditulis oleh seorang yang mempunyai ketinggian ilmu malah bersumberkan rujukan yang tinggi mutunya. Antara novel yang turut dikarang dibawah siri ini ialah Abu Bakar Sahabat Sejati, Umar al-Khattab Reformis Dunia Islam, Uthman Affan Pengumpul al-Quran, Ali Bin Abi Talib Mutiara Ilmu Islam, Umar Abd Aziz Bayangan Khalifah ar-Rasyidin, Ikramah Penentang Jadi Pembela, Bilal Bin Rabah Pengumandang Seruan Langit, Sultan Muhammad al-Fateh Penakluk Konstantinopel, Salahudin Ayubi Penakluk Jerusalem, Abu Ubaidah Penakluk Parsi, Khalid Memburu Syahid dan lain-lain. Novel-novel ini telah diterbitkan oleh PTS Litera Utama. Penulis merupakan anak kelahiran Negeri Sembilan, beliau adalah Abdul Latip Talib.
Sebagai saranan kepada semua yang membaca ulasan ini, marilah kita mengkaji sejarah ketamadunan Islam. Mungkin anda boleh persoalkan bahawa mengapa kita perlu mengkaji sejarah. Adakah kita perlu mengulang sejarah? Apakah relevannya sejarah dahulu untuk dikaitkan dengan zaman moden ini? Dimanakah nilai realistiknya sejarah yang semakin pupus ditelan arus kemodenan?
Tetapi, lupakah anda bahawa kita adalah pemuda Islam, penyambung risalah yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. Konsep dan asasnya tetap sama daripada dahulu namun peredaran zaman menuntut pendekatan dan penyebarannya lebih kreatif.
Dahulu aku berperang untuk al-Lata dan al-Uzza. Sekarang, aku serahkan jiwaku dengan ikhlas kepada Allah. -Ikramah Bin Abu Jahal
Blog penulis, di sini.
Pengumuman: Sila rujuk link ini untuk maklumat lanjut tentang pertandingan sempena Kempen Membaca PERMAI 09/10.

Like

